Produk Bio-Organik Menggembirakan Pokok dan Pengusaha

Saudara Azmi Menunjukkan Pokok Pisang Bertandan Dua.
Saudara Azmi Teruja Dengan Pokok Pisang Bertandan Tiga

Mak Tam kadang-kadang terfikir sendirian. Apakah reaksi pokok apabila disembur dengan racun kimia. Sakitkah ia? Terencatkah pertumbuhannya? Ini kerana yang kita sebenarnya marah adalah kepada perosak yang datang dalam bentuk serangga atau kulat atau bakteria dan mengganggu pokok kita. Tapi yang kita semburkan racun adalah seluruh pokok itu. mmm... Ini belum nak cerita kesan racun kepada manusia lagi.

Dalam masa beberapa bulan ini Mak Tam berjumpa dengan beberapa produk bio-organik. Disebutkan bio kerana ianya melibatkan peranan mikrob. Kalau begitu, produk SRI juga dikira bio-organik kerana melibatkan mikrob dalam penyediaan dan penggunaannya.

Dua gambar diatas adalah reaksi pokok pisang terhadap penggunaan produk SRI. Bukan selalu nampak begini kerana selalunya pisang berbuah setandan sepokok. Saudara Azmi gembira menunjukkan kepada Mak Tam fenomena ini yang berlaku pada pokok pisang dikeliling rumahnya. Cuma masalahnya, buah terlalu berat hinggakan patah tengkuk pokok tu.

MyEcoFarm berpusat di Cangkat Lobak, Bagan Serai, Perak juga mempelopori dan mengajar petani cara membuat baja kompos bio-organik mengguna sisa sawit, najis haiwan, dedak padi, habuk kayu, sekam bakar, gula merah dan sejenis mikrob. Mikrob yang dimaksudkan itu adalah sejenis bakteria yang dipanggil Bacillus subtilis (B481).

Daniel Heng dan Jong Chun Sun
 MyEcoFarm mengajar petani limau bali di Kg Lean Seng untuk membuat kompos ini dan sejak setahun ini, kompos digunakan mengganti baja kimia. Yang hebat dilihat, ialah keadaan pertumbuhan pokok dan pengeluaran buah yang berganda kuantiti dan kualiti. Pokoknya sarat berbuah dan setiap tangkai mengeluarkan diantara 4 hingga 6 buah. Pokok terpaksa ditungkat takut sekah. Yang lagi hebat ialah ada pernah satu tangkai mempunyai 8 biji buah limau bali yang sekata saiznya. Bukan itu sahaja, rasa buahnya juga sungguh enak hinggakan Mak Tam teringat-ingat.


Isi Limau Bali Yang Padat Berair dan Manis
Pada hemat Mak Tam, jika kita menggunakan baja bio-organik, pokok akan menyatakan terima kasihnya dengan mengeluarkan hasil yang banyak dan lebih sedap rasanya. Lagi pun, dengan bertambahkan makhluk Allah swt yang dijaga dengan baik tanpa mendedahkan makhluk-makhluk ini kepada baja dan racun kimia, mereka meneruskan tasbih memuji Pencipta mereka. Dengan gema tasbih berbilion makhluk yang hidup ini, keadaan persekitaran lebih aman dan harmoni. Musuh semulajadi (natural enemies) dapat melaksanakan tugas mereka mengimbangi perosak tanaman. Pokok jadi sihat dan berupaya menghindari penyakit.

Cili 4 Dari Satu Tampuk
Sudah ramai rakan-rakan yang menggunakan produk SRI menceritakan pengalaman mereka. Saudara Wizan Zaini menceritakan pertama kali melihat cili keluar empat cili dari satu tampuk. Bukanlah semua cilinya begitu. Yang dijumpai beberapa tampuk sahaja. Yang lain ada dua, ada yang tiga. Adakah reaksi pokok sebegini dapat menambahkan hasil, kita perlu ikuti beberapa musim. Walaubagaimana pun, pengalaman yang menyeronokkan terus disebut-sebut oleh mereka yang menggunakan produk SRI.

Bagi tanaman bendi, kalau semasa cara konvensional menggunakan input kimia, paling tinggi dapat kutip hasil dalam 3-4 bulan. Setelah berubah kepada produk SRI, tempoh mengutip hasil hingga ke lapan bulan. Begitu juga kacang panjang. Kalau dulu, bunga kacang dalam 30% akan gugur, selepas mengguna produk SRI, hanya mungkin 5% sahaja yang gugur. Yang lain jadi buah dan tempoh masa mengutip juga bertambah. Gambar dibawah ini adalah satu contoh lebatnya buah kacang panjang apabila digunakan produk SRI. Memang seronok betul Mak Tam tengok dan mengikuti perkembangan ini. Tanpa perlu membeli racun kimia sahaja sudah dapat menjimatkan hampir 60% dari kos pengeluaran. Dapat pula hasil yang penuh berkat. Memang berganda dapat keuntungannya. Semoga ramai lagi memilih jalan menjaga alam dalam usaha pertanian ini. Syukur Alhamdulillah.

Kacang Panjang yang Lebat Berbuah