Sebelum tahun 70an, petani mengguna baja asli dan pencegah perosak daripada sumber alam semulajadi. Guna tahi lembu dan kambing sebagai baja, serta pelbagai jenis tanaman seperti akar seruntun dan daun semambu untuk menghalau serangga perosak. Al-kisahnya, masa itu hasil adalah rendah iaitu serendah 0.5 tan sehektar dan yang tertinggi mungkin 2.5 tan sehektar. Yang baiknya, pada masa itu petani tidak terdedah kepada sebarang racun kimia.
Bermula tahun 70an, Revolusi Hijau diwar-warkan sebagai usaha kearah meningkatkan pengeluaran makanan. Pertanian negara perlahan-lahan berubah wajah. Baja kimia pun diperkenalkan. Kerajaan juga mempertimbangkan pemberian subsidi baja khusus untuk padi. Kemudian, padi baru yang dikeluarkan oleh pihak MARDI juga ditanam oleh petani. Padi baru perlukan baja kimia untuk memberi prestasi hasil yang baik. Racun kimia juga diperkenalkan untuk mengawal perosak tanaman. Semuanya dengan niat yang murni untuk menambahkan pendapatan petani. Jentera ringan mula diberi perhatian oleh para petani untuk kerja-kerja penyediaan tanah.
Perubahan yang sangat ketara berlaku dalam bidang pertanian sejak itu sehinggalah melangkau tempohmasa 40 tahun. Pelbagai hasil pertanian melonjak naik. Tapi sayangnya, penggunaan baja dan racun kimia makin hari semakin tinggi. Harga baja dan racun kimia naik berganda-ganda terutama selepas krisis makanan tahun 2008. Hinggakan petani ramai yang mengeluh. Ramai juga yang sakit dan meninggal dunia dengan sebab pendedahan kepada racun kimia sekian lama.
Walaupun wang banyak digunakan untuk membeli baja tambahan dan racun kimia, namun kes-kes serangan perosak dan penyakit terus berlaku hingga pada tahun 2012, dilaporkan pengurangan pengeluaran padi sebanyak 100,000 tan.
Revolusi Hijau adalah satu pencapaian besar bagi negara-negara membangun dan menjaminkan keselamatan makanan negara. Ia juga berjaya mengadaptasi dan memindahkan teknologi pertanian moden kepada negara membangun. Revolusi Hijau juga mengeluarkan ramai petani daripada belenggu kemiskinan dan kelaparan. Manfaat terbesar adalah menjadikan pertanian lebih menarik sebagai sumber pendapatan utama kepada golongan usahawan muda.
Walaubagaimana pun, Revolusi Hijau juga membawa kesan negatif terhadap alam sekitar dan kesihatan petani dan komuniti pertanian, dan para konsumer, amnya. Langkah-langkah mengatasi masalah ini harus diberi perhatian yang berat terutama sekali oleh pihak kerajaan. Pihak penggubal dasar dan pihak penyelidik boleh memainkan peranan yang istimewa dengan mengutarakan teknologi yang selamat dan jimat, dan pada masa yang sama dapat meningkatkan pengeluaran makanan.
Setelah melalui pengalaman dilapangan bersama ramai rakan tani di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Perak, Mak Tam yakin bahawa membawa ilmu pertanian fitrah alam (natural farming) kedalam pertanian konvensional banyak manfaatnya. Akan Mak Tam huraikan satu persatu dalam catatan-catatan blog seterusnya. InsyaAllah.
Setelah melalui pengalaman dilapangan bersama ramai rakan tani di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Perak, Mak Tam yakin bahawa membawa ilmu pertanian fitrah alam (natural farming) kedalam pertanian konvensional banyak manfaatnya. Akan Mak Tam huraikan satu persatu dalam catatan-catatan blog seterusnya. InsyaAllah.