Produk SRI Boleh Dibuat Sendiri


Che Ani dengan bangga menunjukkan koleksi bahan-bahan produk SRInya

Che Ani bin Ahmad adalah dari Bukit Morai, Pendang, Kedah. Pada 9-10 Januari, 2013 beliau telah menghadiri Kursus Membuat Produk SRI di Pejabat Penghulu, Kg Titi Akar, Pendang. Mak Tam perhatikan beliau amat berminat dari awal kursus, iaitu semasa penerangan mengenai asas pertanian fitrah alam, hinggalah semasa sesi praktikal. Pada kedua hari, beliau sentiasa memberi penuh perhatian dan bertanya.

Semasa sesi praktikal membuat pati ikan semasa kursus di Titi Akar
Pada 21 Ogos, 2013 kami telah pergi ke Pejabat Pertanian Daerah Pendang dan berjumpa dengan Encik Abdul Rahman. Semasa perbualan kami, Encik Rahman menceritakan mengenai Che Ani yang telah bertanam padi mengguna kaedah SRI dan menggunakan produk SRI buatan sendiri. Pak Tam dan Mak Tam terus minta tunjukkan sawah tersebut dan niat ingin berjumpa dengannya. Kaedah SRI ini sesuatu yang baru kepada petani di Kedah, dan percubaan pertama ini mustahak berjaya untuk SRI mendapat perhatian petani sekeliling.
 
Sawah percubaan mengguna kaedah SRI
Kami tiba dulu di petak percubaan. Seronok tengok pokok padi yang sihat dan sekata.Tak lama kemudian Che Ani sampai. Dia menceritakan usaha-usahanya untuk membuat kerja melandak (menggemburkan tanah dalam barisan padi bagi tujuan membuang rumput dan mengudarakan tanah). Beliau juga menceritakan bagaimana dia tidak lagi perlu mengguna racun kimia kerana dengan bahan-bahan yang dibuat selepas berkursus dulu memadai menghalau serangga perosak dan menjauhi penyakit. Dia yakin boleh berterus mengguna produk SRI yang dibuatnya sendiri pada musim-musim seterusnya. Beliau juga menceritakan penjimatan dalam kos pengeluarannya pada musim ini.

Kemudian kami dibawa melawat satu lagi petak yang bertanam cara SRI. Sungguh cantik pokok padinya. Beliau menceritakan bahawa dia membeli alat pencakar untuk membuat kerja melandak dipetak ini. Lihat saja alat landak beliau digambar ini.

Pencakar sebagai alat melandak
 Dua bulan lepas Mak Tam telepon Che Ani bertanya pasal hasilnya. Beliau menyatakan ada peningkatan lebih daripada satu tan bagi tanahnya keluasan 0.77 hektar (2.5 relung Kedah) dibandingkan musim sebelumnya. Kali ini dia mendapat 6,010 kilogram bagi 2.5 relung. Suaranya kedengaran gembira dan teruja. Mak Tam juga seronok kerana kali pertama dia mencuba, telah mendapat hasil yang positif.
Pak Tam, Encik Rahman, Puan Yanti, Che Ani


Che Ani membawa kami ke rumahnya. Di satu sudut, tersusun bahan-bahan 'natural farming' untuk dijadikan produk SRI. Rupanya sebaik kembali daripada kursus, Puan Yanti, pegawai pengembangan kawasan telah adakan aktiviti membuat produk SRI secara berkumpulan. Setelah siap, masing-masing membawa balik bancuhan SRI Anak, SRI Bunga dan SRI Buah untuk dicuba. Tahniah dan syabas kepada Puan Yanti dan Che Ani atas usaha melestarikan pertanian. Semoga usaha baik ini diteruskan demi masa depan yang lebih sihat dan kos yang jimat. Sesiapa ingin menghubungi Che Ani, nombor teleponnya adalah 013-428-5170.