Pesawah Wanita Rugi RM6000 Kerana Guna Pati Kangkung |
Pada bulan Februari, 2013 lalu, Pak Tam dan Mak Tam menjalankan latihan membuat produk SRI kepada pesawah di Kota Kuala Muda, Kedah. Oleh kerana berdua kami pernah bekerja di Kedah sekitar 1990an, seronok dapat menyumbang ilmu cara untuk mengurangkan kos bersawah melalui penggunaan kaedah 'natural farming' iaitu pertanian fitrah alam.
Banyak perkara yang dibentang, dikongsi dan dibincangkan bersama pesawah Kota Kuala Muda. Apabila tiba giliran Mak Tam memberikan teori mengenai cara menggunakan bahan-bahan yang telah diproses seperti pati kangkung, baja ikan, ekstrak tulang dan lain-lain, Mak Tam terangkan dengan terperinci fungsi setiap bahan.
Semasa waktu rehat, seorang pesawah wanita datang menghampiri Mak Tam. Dia menceritakan bahawa baru sekarang dia faham cara mengguna pati kangkung dengan betul. Selepas dia belajar bagaimana nak buat pati kangkung sebelum ini, dia amat teruja dengan kesan positif semburan pati kangkung terhadap pertumbuhan pokok padinya.
Gambar Padi Yang Belum Terbit Bunga (Gambar Hiasan) |
Dia telah membuat lebih banyak pati kangkung dan menyembur padinya beberapa kali. Pada masa pokok padi sepatutnya berbunga, disemburnya lagi kerana padi tidak mengeluarkan bunga. Sungguh malang dirinya, tanaman padinya hanya sedikit sahaja yang berbunga dan berbuah. Pada musim tersebut, beliau kerugian RM6000 iaitu modal yang dikeluarkan untuk kerja-kerja persawahannya.
Mak Tam harap dengan membaca kisah di atas, para pembaca hendaklah berhati-hati. Pati kangkung ini mengandungi enzim dan hormon (plant growth hormones) yang sangat kuat kuasanya. Kita perlu tahu bila untuk diguna semburan pati kangkung, dan bila untuk berhenti menggunanya.
Bagi jenis tanaman yang memang tidak mengeluarkan bunga atau buah, pati kangkung boleh digunakan daripada awal sampai pokok matang. Contohnya, sayur daun seperti kangkung, sawi, bayam, kailan. Bagi sayuran buah, pati kangkung digunakan daripada semai hingga pokok dijangka untuk berbunga. Untuk rangsang pembungaan, produk SRI Bunga pulak digunakan.
Kita disarankan mengguna pati kangkung pada kadar 1:500 sahaja. Maknanya, kalau kita guna pam penyembur 20 liter, pati kangkung kita guna dalam 40 ml sahaja. Kalau kita hanya nak guna untuk kebun keliling rumah dan guna alat penyembur yang 1 liter, kita hanya letakkan 3-4 titik sahaja pati kangkung sudah memadai.
Perlu ingat bahawa walau pun pati kangkung boleh terus sahaja digunakan terhadap tanaman, ia hanya salah satu bahan sahaja. Menyembur pati kangkung sahaja adalah seperti menyembur baja urea. Ia hanya merangsang pertumbuhan tunas dan tumbesaran, tetapi tidak mencukupi untuk pokok. Pokok muda perlukan keseimbangan antara nitrogen, phosphorus dan potassium dan juga 'trace elements'.
Pati kangkung ini merupakan baru satu bahan untuk membuat bancuhan SRI Anak. Kita memerlukan beberapa bahan lagi yang diperbuat daripada ikan dan tulang. Jadi jika sudah siap pati kangkung ditapis, simpankan dalam bekas plastik atau botol ditempat yang redup.
Kalau ingin melihat keberkesanannya, boleh cuba sembur kepada pokok sekeliling rumah. Cuba jangan tak cuba!