SRI Anak - Khasiat Dalam Pucuk Kangkung

Mengambil Pucuk Kangkung Liar Dari Parit Diawal Pagi
Kangkung liar sesuai untuk dibuat bahan mentah dalam produk SRI Anak kerana 'kekuatan' semulajadi yang pada dan dalam pokok ini. Soalan yang sering Mak Tam terima mengapa dipilih kangkung liar dan tidak kangkung yang ditanam. Jawapannya ialah:

1. Kangkung liar mudah didapati tumbuh dalam parit dan kolam. Juga kangkung liar boleh didapati secara percuma.

2. Bahagian pucuk kangkung liar mempunyai kandungan khasiat yang merangsang pertumbuhan pokok muda, iaitu dengan mengeluarkan tunas baru dan mempercepatkan tumbesaran pokok.

Dalam alam semulajadi, diatas permukaan daun ada diantara 100,000 hingga 150,000 mikroorganisma pada setiap satu sentimeter persegi. Kebanyakannya adalah jenis bakteria asid laktik dan yis. Didalam daun pula, ada isi cecair kandungan sel yang mengandungi enzim dan hormon. Kita mahukan enzim dan hormon pertumbuhan yang ada dalam sel daun dan batang muda itu. Gabungan kerja mikrob dan enzim serta hormon itulah yang menjadikan pokok cergas tumbuh.

Memotong Pucuk Kangkung Dalam 2 Sentimeter Lebar
Gaul Kangkung Dengan Gula Merah

 Ada syarat tertentu dalam memilih bahagian kangkung yang diambil sebagai sumber bahan mentah.

a.  Kangkung diambil bahagian pucuk sahaja, iaitu dalam 30 - 40 cm dari hujung pucuk. Disinilah berkumpulnya semua enzim dan hormon yang kita perlukan, termasuk mikrob bermanfaat.

b.  Kutip kangkung seawal boleh sebelum matahari naik. Mak Tam sarankan kutip sebelum pukul 7 pagi.

c.  Pucuk kangkung JANGAN dibasuh. Terus potong dan gaul dengan gula merah sebelum pukul 8 pagi. Letakkan kedalam bekas plastik seperti dalam gambar diatas. Tekan campuran ini agar kangkung dan gula merah padat.

d.   Tutup bekas dengan kain bersih dan ikat supaya tidak diganggu lipas, lalat atau tikus. Simpan ditempat redup selama 5 hari.

e.  Selepas 5 hari, tapiskan pati kangkung dan simpan dalam botol, dan simpan ditempat redup. Pati kangkung inilah yang akan diguna sebagai salah satu bahan SRI Anak. Labelkan botol 'Pati Kangkung'.

 Kita kutip pucuk kangkung sebelah awal pagi kerana semua khasiat yang kita mahu mula terkumpul dari jam 3 pagi hingga waktu subuh dalam pucuk kangkung. Itulah pasal pokok kangkung memanjang selepas lewat malam. Apabila hari mula panas, enzim dan hormon pertumbuhan akan berkurangan dan meningkat balik lepas tengah malam. (Baca kat Science Daily).

Kadar Pertumbuhan Meningkat Dari Jam 3 Pagi Hingga Lepas Subuh.
Kalau kita ambil bahagian kangkung yang bukan pucuk, atau kita kutip apabila matahari sudah naik, kualiti pati kangkung kita adalah rendah.

Selain daripada kangkung, pucuk beberapa jenis tanaman seperti rebung, sulur pisang, pucuk mangga, dan tunas sisi melon juga boleh digunakan bagi tujuan merangsang pertumbuhan. Bagi Mak Tam, untuk tujuan guna sendiri, tiada masalah pun. Cuma jika untuk tujuan membuat produk SRI komersil, kita perlu jaga piawaian produk. Mak Tam syorkan guna kangkung supaya konsisten.

Cabaran Mak Tam kepada pembaca:

Sila buat pati kangkung didapur anda. Buat macam ini:
1 kg kangkung liar dipotong 2cm
1 kg gula merah
Gaulkan keduanya (jangan ramas) dalam bekas plastik dan tekan sikit. Tutup bekas dengan kain bersih dan ikat. Tempatkan ditempat redup. Lepas 5 atau 7 hari, tapis pati kangkung dan simpan. Labelkan.

Kalau rajin, ambil gambar setiap langkah dan upload kat page 'SRI Organic Fig Garden' untuk share dengan rakan-rakan.