KLIA - Titik Waktu Melangkah Keluar Malaysia
Penerbangan kami tengah malam 24 Oktober, 2015. Hati terus berdebar kerana baru saja mendengar khabar bahawa seorang kawan pesara telah ditahan dari keluar negara kerana dikatakan berhutang dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri. Melayanglah duit tiket kapalterbangnya yang berharga hampir RM4,000.
Mak Tam dan Pak Tam sudah bersara lebih dari enam tahun. Dalam pengetahuan kami, sudah diselesaikan segala hutang dengan LHDN. Jika ada hutang lagi, persaraan tidak akan diuruskan. Sudah juga semak berpuluh kali secara online dilaman imigresen, Malaysia http://sspi2.imi.gov.my/ . Mudah. Cuma letakkan nombor kad pengenalan sahaja.
Jika tiada hutang, akan diberitahu "Tiada halangan - Status: Sah pada waktu dan tarikh semakan dibuat". Walau pun kedua kami telah dapat keputusan 'tiada halangan', tetapi hati tetap berdebar kerana manalah tahu. Pada saat terakhir mereka mendapati ada dua tiga ratus ringgit lagi tak bayar. Aduss.. tension betul.
Pak Tam terus melalui check passport guna mesin. Mak Tam tertengok muka pegawai imigresen dan dia gamit suruh datang ke kaunter. Semasa pemeriksaan passport oleh pegawai imigresen di KLIA, lama juga dia menggodek komputernya. Jantung Mak Tam rasa nak terhenti. Akhirnya dia senyum dan kembalikan passport.
"Selamat jalan", katanya.
"Terima kasih", sahut Mak Tam dengan penuh perasaan lega. Dalam hati Mak Tam mengucapkan Alhamdulillah. Maka bermulalah pengembaraan kami.
Papan tanda besar yang gambarnya diatas sekali tertulis, "On this journey of life, we're all travellers looking to make that great trip with someone". Bermaksud "Dalam perjalanan hidup ini, kita semua adalah pengembara yang ingin melakukan kembara hebat dengan seseorang."
Kali ini memang kembara hebat kerana pergi bersama Pak Tam dan akan dilengkapkan oleh kempat anak-anak iaitu kami Amir, Nadz, Kamal dan Nawa. Kembara yang telah dirancang enam tahun lalu iaitu semasa Mak Tam mengambil pesaraan awal. Mak Tam merancang, cuma baru ini diizinkanNya. Allahuakbar. Alhamdulillah.