![]() |
Racun Sistemik Furadan Sangat Toksid |
![]() |
Racun Furadan |
Racun carbofuradan, selepas ini Mak Tam sebut furadan sahaja, adalah antara racun paling toksid. Selalunya ia datang dalam bentuk macam gula pasir ungu. Satu butir furadan ini boleh membunuh seekor burung. Suku sudu kecil racun ini, jika termakan, boleh bunuh seorang manusia. Boleh baca artikel dari buletin Persatuan Konsumer Pulau Pinang mengenai bahaya furadan.
Dalam penanaman pokok tin juga Mak Tam pernah tengok furadan digunakan untuk mengawal pengorek batang. Juga diletak pada buah masak yang telah dicubit burung supaya jika burung datang ulang makan, burung akan tentu saja mati.
Perkara ini juga ada dibawa dalam perbincangan di group fb Tin Oh Tin dan group-group penanaman yang lain. Jadi rasanya wajar Mak Tam berkongsi maklumat mengenai bahayanya mengguna racun furadan ini. Apa lagi kita nak makan buah dan daunnya kita buat teh. Jika telah tahu, bolehlah buat keputusan untuk terus guna atau tidak.
Kanada dan Persatuan Eropah (EU) telah mengharamkan penggunaan furadan dinegara mereka dalam tahun 2008. Amerika Syarikat mengharamkannya pada tahun 2009. Kenya bercadang mengharamkannya, tetapi masih boleh dibeli dikedai pertanian. Di Malaysia, racun ini dijual dengan bebas tanpa sebarang sekatan.
Ada laporan menyatakan bahawa furadan digunakan dalam penanaman tebu, tembikai dan jagung bagi tujuan mengawal serangga pengorek. Ada claim racunnya tidak masuk ke buah. Furadan ini adalah racun jenis sistemik, maknanya racunnya cair dalam air dan diserap masuk keseluruh bahagian pokok, mustahil ia berhenti mengalir kat tangkai buah. Sudah pasti ia mengikut masuk kedalam buah.
Jika kita pula makan buahan yang tercemar, sisabaki racun ini juga akan memasuki tubuh badan. Sisabaki racun terkumpul dalam badan tahun demi tahun. Jika anak kecil disuapkan buahan tercemar, aduss.. bayangkan bahaya yang mendatang.
Mari kita tengok apa furadan buat terhadap tubuh badan manusia. Gambar di bawah ini memberikan kesan sisabaki racun furadan. Rasa nak muntah, pening dan racau. Juga boleh melumpuhkan sistem pernafasan. Mengakibatkan kerosakan kekal pada sistem reproduktif dan saraf.
![]() |
Gambar memberikan kesan sisabaki racun furadan. |
Jika kita rasa tiada salah untuk mengguna furadan, cuba kita tengok ke mata anak kecil kita dan cucu-cucu. Sanggupkah kita menyuapkan nasi dan buah tin dari pokok yang kita telah guna furadan. Mak Tam tinggalkan diskusi ini disini.