Mak Tam hendak ambil kesempatan ini untuk berkongsi maklumat asas pengenalan kepada tanaman tin Ficus carica. Species Ficus carica ini terbahagi kepada empat jenis iaitu caprifig, smyrna, san pedro dan common fig. Tidak syak lagi bahawa kesemua empat jenis ini adalah pokok tin original.
![]() |
Jenis Ficus Carica |
Jika kita teliti empat gambar diatas, semua buahnya mengiurkan. Rasa macam hendak dikutip dan dimasukkan dalam mulut dan dikunyah. Nyam nyam. Kecuali caprifig yang mungkin rasa macam kertas kering, yang lain-lain jenis buahnya menawan dan manis. Memang pun ditanam dinegara seperti Turki, Mesir, France, Spain, Italy, Amerika Syarikat, dan lain-lain.
Untuk membolehkan sesuatu negara itu menanam keempat jenis pokok tin ini, ia mesti ada sejenis serangga yang nama saintifiknya Blastophaga psenes. Serangga ini berfungsi sebagai agen pendebungaan bagi bunga pokok tin bagi memastikan pokok tin berbuah. Dinegara kita kemungkinan besar serangga ini tidak wujud. Juga mesti ada bertanam jenis caprifig yang membekalkan debunganya (pollen).
Oleh kerana kita di Malaysia tidak ada serangga Blastophaga psenes, kita hanya boleh menanam pokok tin yang tidak perlu pendebungaan. Dari empat jenis yang tertera diatas, hanya jenis common fig sahaja yang tidak memerlukan pendebungaan untuk berbuah. Oleh itu, kita pastikan kita beli varieti pokok tin dari jenis common fig sahaja. Dengan penjagaan pokok yang baik, pokok tin jenis common fig gerenti berbuah. Dan kita dapat menikmati buah tin yang enak sekali. Nom nom.
Jika kita terbeli yang tiga jenis lagi, iaitu caprifig, smyrna dan san pedro, mungkin kita layan daun dan putik-putik yang luruh berderai. (Fikir positif: Putik boleh buat halwa buah dan daun boleh buat teh).
Gambar dibawah ini adalah sebagai panduan ringkas.
![]() |
Belilah Pokok Tin Jenis Common Fig Sahaja |
Common fig: Pokok tin jenis common fig tidak memerlukan pendebungaan. Bila ingin membeli pastikan varieti yang kita pilih adalah jenis common fig. Jika kita tanam secara keratan atau tut, pokok yang kita akan dapat adalah sama dengan pokok induknya. Contoh common fig adalah Brown Turkey, Celeste, Black Mission, Brunswick, Dotatto (Kadota), dan lain-lain. Senarai varieti common fig ini panjang dan boleh rujuk disini dari mukasurat 369.
Caprifig: Pokok tin caprifig mengeluarkan bunga yang ada debunga untuk proses pendebungaan pokok jenis smyrna dan san pedro. Caprifig juga mengeluarkan buah tetapi buahnya tidak sedap dimakan tetapi kambing suka.
Smyrna: Pokok tin smyrna hanya boleh mengeluarkan buah jika bunganya didebunga oleh serangga Blastophaga psenes. Debunganya datang dari bunga caprifig. Jadi jika kita tanam jenis smyrna ini di Malaysia, pokoknya tidak akan berbuah langsung. Putik bunganya akan luruh apabila sampai sebesar guli. Smyrna banyak ditanam di Turki dan beberapa negara lain yang ada serangga Blastophaga psenes. Contoh pokok smyrna adalah Black Bursa, Lob Incir, Marabout, Inchà rio, dan Zidi.
San pedro: Pokok jenis san pedro mengeluarkan buah dua kali setahun dinegara ada empat musim. Buah awal yang keluar pada dahan matang tidak memerlukan pendebungaan. Buah kedua yang keluar pada tunas baru pulak memerlukan pendebungaan. Jika tidak mahu pening, tak payah beli jenis san pedro ini. Contoh san pedro adalah Desert King, Dauphine, Lampa Preta, Lampeira, King, dan Madeline fig.
Jadi pada hemat Mak Tam, apa yang dibincang dengan hangat di fb mengenai pokok tin ORI dan FAKE adalah kerana ada yang terbeli jenis smyrna dan san pedro yang tidak lekat buah di negara kita.
Pengajaran dari ini, pembeli kena rajin tanya pakcik Google dan juga dengan rakan-rakan yang sudah lama berkecimpong bertanam pokok tin sama ada sesuatu varieti itu sahih common fig. Juga buat research sikit mengenai penjual, track recordnya, dan jangan beli dari orang yang tidak bernama atau beri nama samaran. Dalam group Tin Oh Tin ramai otai dah sudah melalui berbagai pengalaman pahit manis. Jom join kami, klik disini Tin Oh Tin.
Juga sebagai penjual, marilah kita juga mendapat maklumat yang lengkap dan betul sebelum mewarwarkan untuk jualan. Lagi baik jika pokok tersebut sudah sah berbuah dan masak dinegara kita. Ini juga peringatan untuk diri Mak Tam sendiri kerana ada bawa balik beberapa varieti dari Italy, Spain dan France.
Kepada peminat pokok tin, ini pesanan Mak Tam. 'Jangan terpedaya oleh nama, buah luruh jiwa merana'. Jika anda mahu beli secara terus dari luar negara atau ebay, buat research dulu.
Terima kasih kerana sudi membaca sampai habis.
Klik peta kat bawah ini untuk beli pokok tin
Jom kita dengar lagu Rock and Roll.